 |
|
Aerosoft kembang sayap ke peringkat global
August 3, 2005
BERITA HARIAN - AEROSOFT IT Sdn Bhd, pembangun perisian dan perunding teknologi maklumat berstatus Koridor Raya Multimedia, berjaya mengembangkan pasaran produknya ke luar negara selepas enam tahun berada di pasaran tempatan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Ahmad Fadzidin Arshad, berkata antara lain ialah ke Brunei Darussalam dan akan ke Indonesia serta beberapa negara di Timur Tengah tidak lama lagi.
“Kami mengamalkan penumpuan kepada pembangunan sistem sumber manusia bersepadu, E-Smart HR. Ia sistem mesra pengguna dan satu-satunya aplikasi perisian di pasaran yang dibangunkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.
“E-Smart HR dibangunkan sepenuhnya oleh tenaga tempatan memiliki empat modul utama dan 14 modul sekunder. Ia bersepadu penuh dan direka untuk beroperasi di bawah arkitektur platform sistem berangkaian dalam persekitaran berbilang pengguna,” katanya.
Ahmad Fadzidin berkata, E-Smart HR berasaskan sistem pelayan atau desktop dengan kesepaduan penuh terhadap internet yang boleh dicapai dari mana saja pada bila-bila masa asalkan ada hubungan ke internet.
“Kami juga dalam peringkat membangunkan untuk membolehkannya menyokong aktiviti interaktif berasaskan sistem pesanan ringkas (SMS).
“Selain itu beberapa modul tambahan sedang dibangunkan dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini untuk memperkukuhkan lagi produk agar dapat memenuhi keperluan semasa,” katanya lagi kepada Komputer, minggu lepas.
Katanya, pembangunan berasaskan kehendak semasa pasaran dalam keadaan yang begitu unik kerana ia dimulakan dari sifar tanpa campur aduk aplikasi pihak ketiga.
“Bahagian penyelidikan dan pembangunan kami membuat kajian terperinci sebelum membangunkannya, membabitkan soal selidik ke atas hampir 100 individu yang berpengalaman luas dalam bidang sumber manusia dari semua sektor.
“Kajian itu diperlukan untuk mendapatkan gambaran sebenar persekitaran sumber manusia dan penggajian dalam organisasi tempatan. Hasilnya, produk yang mampu memenuhi keperluan semasa dan kini ia sudah dikemaskini untuk melangkah lebih jauh ke peringkat global pula,” katanya.
Hakikatnya, rumusan ini akan meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan masa, memaksimumkan sumber, memperkayakan maklumat dan mengalih operasi ke arah persekitaran operasi tanpa kertas.
“Walaupun sudah ada satu sistem standard siap untuk dipasang, namun ia masih terbuka untuk diselaraskan dengan kehendak atau persekitaran pelanggan.
“Dari segi keselamatan, E-Smart HR mengamalkan sistem keselamatan berlapis peringkat tertinggi, bermula dari pengenalan diri dan kata laluan, Lapisan Keselamatan Soket (SSL) 128-bit, enkripsi dan firewall,” kata Fadzidin lagi yang mana syarikatnya dijangka akan ke pasaran Mesdaq pada 2007. |